Mesyuarat tentukan tarikh PRU15, PRK Bugaya 20 Oktober ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah akan diadakan pada 20 Oktober ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak memaklumkan, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi, Tan Sri Abdul Ghani Salleh itu akan diadakan di Menara SPR Putrajaya pukul 10 pagi.

“Mesyuarat khas akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU15 dan PRK DUN Bugaya, seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan kedua-dua pilihan raya.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin untuk memberi laluan kepada PRU15.

Kerusi DUN Bugaya ketika ini kosong berikutan penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah dilaporkan meninggal dunia pada 17 November 2020.

Wakil rakyat berusia 65 tahun itu dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat derita sakit buah pinggang.

Artikel Berkaitan: