Pasangan warga emas rugi RM120,000 ditipu 'pekerja pos'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasangan suami isteri warga emas berputih mata apabila wang simpanan RM120,000 lesap akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pekerja pejabat pos.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, sebelum itu, suami kepada pesara wanita berusia 68 tahun itu dihubungi seorang individu tidak dikenali mendakwa kakitangan pos laju pada 3.50 petang Ahad lalu.

Menurutnya, individu berkenaan mendakwa mangsa ada menggunakan perkhidmatan pos laju bagi penghantaran barang dari Kuala Perlis ke Kuantan.

Namun mangsa menafikannya, sebelum suspek mengatakan ada individu lain menggunakan namanya. Suspek bertindak menyambung panggilan ke Balai Polis Kuala Perlis dan meminta mangsa memberikan kerjasama sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan Bukit Aman.

"Suspek kemudiannya meminta mangsa memberikan maklumat akaun bank miliknya dan isteri. Mangsa juga telah menyerahkan maklumat kad ATM," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Sohaimi, suami isteri itu hanya menyedari mereka ditipu selepas menceritakan kejadian tersebut kepada ahli keluarga.

"Mereka kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada Isnin.

"Semakan yang dilakukan pihak bank mendapati terdapat 15 transaksi pindahan wang dari akaun mangsa ke dua akaun lain berjumlah RM120,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

"Siasatan juga akan meliputi sama ada terdapat penglibatan keldai akaun dan jika ada tindakan akan dikenakan ke atas pemilik akaun yang terlibat," katanya.