KPDN tahan suami isteri 'scam' baju raya

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berkaitan gagal membekalkan baju raya secara dalam talian membabitkan transaksi bernilai ratusan ribu ringgit.

Penahanan dua individu terbabit dilakukan di Pejabat KPDN Cawangan Manjung, Perak berkait sejumlah 100 aduan mangsa seluruh negara yang tidak menerima baju kurung ditempah sempena hari raya Aidilfitri.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, suami isteri berusia lingkungan umur 40-an itu disyaki melakukan kesalahan menuntut atau menyetujui terima bayaran tanpa niat untuk membekalkan pakaian yang dijual secara dalam talian pada 11 Mei lalu.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek menerima wang daripada pelanggan melalui akaun bank syarikat mereka membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit sepanjang pengiklanan di Facebook.

“Peralatan elektronik yang ditemui telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,700.

“Kedua-dua suspek warganegara tempatan ini seterusnya dihadapkan di Mahkamah Majistret Manjung yang membenarkan reman selama empat hari bermula 12 sehingga 15 Mei 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, selain disiasat mengikut Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599), suami isteri itu turut berdepan siasatan di bawah Seksyen 4, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Menurutnya, jika sabit kesalahan di bawah Akta 613, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

“KPDN ingin memberikan amaran dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat di dalam melakukan penipuan penjualan secara dalam talian.

“Kementerian akan sentiasa memantau aktiviti penjualan secara dalam talian termasuklah melakukan siasatan ke atas aduan yang diterima daripada orang ramai bagi membendung aktiviti penipuan seumpama ini daripada terus berleluasa.” ujar beliau.