Bonus berganda jika letak calon bebas rasuah

Mohtar Sani
Mohtar Sani
A
A
A

SEREMBAN - Bebas daripada isu rasuah merupakan kriteria utama perlu diletakkan oleh setiap parti politik dalam memilih calon yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Yayasan Antirasuah Malaysia Negeri Sembilan, Mohtar Sani berkata, jika ia dapat dilakukan parti berkenaan akan mendapat 'bonus berganda' daripada rakyat.

"Rakyat bukan sekadar nak calon yang dekat dengan mereka, terbukti buat kerja dan berkaliber tetapi paling penting sekarang tidak terpalit isu rasuah.

"Bebas rasuah itu perlu jadi kriteria utama setiap parti jika mereka mahu memberi keyakinan kepada rakyat untuk memilih calon yang ditampilkan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, rakyat sudah muak dengan pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah kerana ia memalukan negara.

Katanya, menjadi harapan rakyat dalam PRU15 supaya calon yang ditampilkan benar-benar bersih sekali gus dapat membawa negara kepada lebih baik.

"Tanggapan rakyat sesetengah pemimpin lama ini ada isu rasuah, jadi kalau boleh elakkan letak individu itu sebagai calon.

"Tidak nafikan kita tidak pasti sejauh mana calon yang diketengahkan itu betul-betul bersih melainkan jika dia pernah disabitkan atau dituduh, tapi itu yang akan menjadi penilaian rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan majoriti warga maya bersetuju bahawa pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah tidak layak dicalonkan oleh mana-mana parti politik pada PRU15.

Menerusi undian yang dijalankan di Facebook Sinar Harian baru-baru ini, sebanyak 80 peratus daripada warga maya memilih untuk bersetuju dengan perkara itu, sementara 20 peratus lagi tidak bersetuju.