100 ikan paus bakal bebas dari 'penjara'

Rusia akan bebaskan 100 ekor ikan paus yang dikurung ke habitat asal. - Foto Yuri Smityuk
Rusia akan bebaskan 100 ekor ikan paus yang dikurung ke habitat asal. - Foto Yuri Smityuk
A
A
A

MOSCOW - RUSIA. Pihak berkuasa Rusia semalam berkata usaha akan dijalankan bagi membebaskan hampir 100 ekor ikan paus yang dikurung di sebuah fasiliti kecil terletak di timur negara itu.

Paus daripada spesies orca dan beluga berkenaan pada awalnya ditangkap untuk dijual kepada pembeli luar negara dan pemilik akuarium, namun akhirnya ia ditempatkan dalam kurungan sempit di Timur Jauh Rusia.

Gabenor Wilayah Primorsky Oleg Kozhemyako berkata, keputusan dibuat untuk melepaskan kesemua paus ke habitat asal susulan pertemuan dengan ahli oseanografi Jean-Michel Cousteau yang juga anak lelaki pakar lautan terkemuka, Jacques Cousteau.

Turut menyertai lawatan minggu lalu ke kurungan terbabit ialah Charles Vinick, ketua Santuari Paus yang berpengalaman menguruskan ikan paus.

Pasukan Cousteau dengan kerjasama agensi tempatan dilapor akan menentukan tarikh dan lokasi kesemua paus itu akan dibebaskan.

'Penjara paus' itu mendedahkan kebanyakan syarikat di Rusia mengeksploitasi permit penangkapan paus bagi tujuan pendidikan demi menjualnya kepada pembeli luar negara terutama dari China.

Kremlin dilaporkan berkata, terdapat 11 ikan paus orca dan 87 ikan paus beluga yang dikurung dalam kurungan terbabit. - Agensi

Artikel Berkaitan: