Reman kes dera kanak-kanak hingga mati, disambung enam hari

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suspek kes dera seorang kanak-kanak tiga tahun hingga mati di Taman Sri Skudai pada 3 Oktober lalu, disambung reman selama enam hari bermula Selasa.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

"Polis Johor mengesahkan permohonan reman terhadap suspek kes bunuh ( penderaan kanak-kanak) di Skudai, telah disambung selama enam hari bermula 11 hingga 16 Oktober.

"Ini bagi membolehkan polis melengkapkan dan menjalankan siasatan dengan lebih terperinci. Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Pada 4 Oktober lalu, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia direman bagi membantu siasatan kes kanak-kanak tiga tahun didera hingga mati di Taman Skudai pada 2 Oktober.

Sebelum itu, Kamarul Zaman menerusi sidang akhbarnya dilaporkan berkata, kedua-dua suspek tersebut ditahan di kediaman mereka pada tengah hari, 3 Oktober lalu.

Menurut beliau, mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan itu ditemukan maut dengan beberapa kecederaan di tubuh badannya, antaranya lebam dan luka kecil.

Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai jurujual kenderaan merupakan suspek utama, manakala wanita warga asing itu pula adalah pembantu rumah yang digajikan lelaki tersebut di kediaman miliknya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan suspek lelaki adalah kenalan bapa mangsa, yang diupah menjaga dua anaknya sementara bapa mangsa bekerja di Singapura.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.