TFC buru gol awal di Cheras

TFC bakal berdepan KL City dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto Facebook Terengganu FC
TFC bakal berdepan KL City dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto Facebook Terengganu FC
A
A
A

PEMAIN Terengganu FC (TFC) diingatkan untuk berwaspada dengan helah skuad The City Boys apabila kedua-dua jagoan Liga Super itu berentap di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Selasa.

Malah menurut pengendali TFC, Nafuzi Zain menegaskan skuad kendalian Bojan Hodak itu sukar dijangka apabila sering menampilkan elemen kejutan setiap perlawanan.

Malah kekebalan bahagian pertahanan finalis Piala Konfederasi Asia (AFC) yang diketuai Giancarlo Gallifuoco dan penjaga gol sensasi Kevin Mendoza, akan menjadi ujian ampuh jentera serangan skuad Penyu yang turun dengan misi wajib tiga mata.

Walaupun TFC memiliki rekod kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut, KL City FC tetap mempunyai kelebihan selaku finalis Piala AFC dan bakal beraksi di gelanggang sendiri.

“Cabaran ini bukan mudah buat kami terutama untuk menembusi kubu pertahanan. Tetapi kita akan cuba dapatkan gol awal untuk naikkan motivasi pasukan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Gong Badak.

Bagi memastikan momentum kemenangan, Nafuzi yang sudah tiga musim membimbing TFC berkata, sandaran utama diletakkan kepada penyerang import kelahiran Ivory Coast Kipre Tchetche, yang baharu sahaja meledak hatrik ketika perlawanan Melaka United FC sebelum ini.

Katanya, Tchetche memiliki kualiti serta sentuhan berbisa selaku penyerang yang boleh diharapkan untuk membawa kemenangan kepada pasukan walaupun sudah berusia 34 tahun.

“Saya percaya tidak mustahil sekiranya Tchetche mampu meledak hatrik pada saat dan waktu yang tepat dengan bantuan rakan sepasukan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi sebagai pemain, ada masanya dia tak dapat menjaringkan gol, itu adalah sesuatu yang normal dan tidak adil jika terus dikritik,” katanya.

LIGA SUPER

SELASA (11 OKTOBER)

Sarawak United lwn Selangor FC

(Std Negeri, 7.30 malam)

Negeri Sembilan FC lwn Melaka United

(Std Tuanku Abdul Rahman, 8.15 malam)

Sri Pahang FC lwn Sabah FC

(Std Darul Makmur, 8.15 malam)

PJ City lwn Penang FC

(Std Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam )

Kuala Lumpur City lwn TFC

(Std Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam)

JDT lwn Kedah Darul Aman

(Std Sultan Ibrahim, 9 malam)