LTdL 2022: Hujan bukan alasan tak raih podium

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

PELUMBA negara diingatkan supaya tidak menjadikan hujan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 sebagai alasan untuk tidak meraih podium di kejuaraan yang menyingkap tirai pada Selasa.

Itu amaran ketua jurulatih skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Yusof Nasir yang sebaliknya mahu situasi tersebut dimanfaatkan pasukan negara untuk lebih menyerlah di edisi ke-26 kali ini.

“Kita sudah biasa dengan hujan di Malaysia... jadi, saya harap ia dapat membantu kita terutama ketika di garisan penamat,” katanya.

Pada masa sama katanya, pasukan negara dibarisi Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Bakri, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Kee Zha Yie juga bersedia untuk memberi 100 peratus pada LTdL kali ini.

Sementara itu, dua lagi pelumba negara Ariff Danial Noor Roseibi dan Norhasmat Abdul Aziz juga disenaraikan sebagai pelumba simpanan.

Untuk rekod, LTdL 2022 sejauh 1,096.9 kilometer itu, bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur; diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub); Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands); Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya); Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim); Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar); Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 (Loop Langkawi).

LTdL 2022 juga menjanjikan saingan sengit apabila enam pasukan Jelajah Dunia - UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan), menyahut cabaran kali ini.

Artikel Berkaitan: