Putin 'balas dendam' habis-habisan?

Antara lokasi yang dibedil di ibu kota pada awal pagi Isnin. - Foto AFP
Antara lokasi yang dibedil di ibu kota pada awal pagi Isnin. - Foto AFP
A
A
A

KIEV - Siri serangan dahsyat menggegar beberapa bandar sekitar Kiev pada Isnin, sehari selepas Moscow menuding jari menyalahkan Ukraine bertanggungjawab terhadap insiden letupan Jambatan Kerch yang menghubungkan Rusia dan Semenanjung Crimea yang diilhak pada 2014.

Antara lokasi yang menjadi sasaran serangan udara bertalu-talu ialah Lviv, Dnipro, Vinnytsia dan Ivano-Frankivsk dan kawasan selatan di Zaporizhzhia serta Kharkiv dan Sumy di bahagian timur.

"Ukraine dihujani peluru berpandu tanpa henti dan meragut nyawa sejumlah orang awam. Semua penduduk terus kekal berada di tempat perlindungan masing-masing," kata timbalan ketua pejabat presiden, Kyrylo Tymoshenko.

Sementara itu, ketua tentera Ukraine mendakwa kira-kira 75 misil dan dron dilancarkan ke seluruh bandar utama di Ukraine yang dipercayai sebagai tindakan 'balas dendam' oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin setelah tentera mereka berdepan siri kekalahan sejak beberapa minggu lalu.

"Kira-kira 41 daripadanya berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Kiev," ujar Jeneral Valeriy Zaluzhny.

Presiden Volodymyr Zelenskyy menerusi ucapannya menyifatkan ia adalah 'pagi yang sukar' buat penduduk Ukraine.

"Musuh mahu mencetuskan panik dan huru-hara. Ada dua sasaran utama mereka iaitu mahu memusnahkan sistem tenaga kita dan menghapuskan rakyat negara ini," jelasnya sambil menambah telah menghubungi pemimpin Perancis dan Jerman untuk menggesa mereka meningkatkan tekanan kepada Kremlin.

Gelombang serangan terbesar itu turut dikecam komuniti antarabangsa dan ia dijangka memburukkan lagi konflik bersama Rusia dan dikhuatiri merebak ke negara sekutunya, Belarus.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Luar Britain, James Cleverly berpendapat serangan misil ke atas Kiev dan beberapa bandar lain sebagai 'tidak boleh diterima'.

"Ia jelas menunjukkan kelemahan Putin bukan kekuatan beliau," jelasnya menerusi Twitter.

Pada Ahad, Putin mendakwa perkhidmatan rahsia Ukraine sebagai dalang bertanggungjawab menyebabkan letupan besar yang memusnahkan sebahagian Jambatan Kerch.

"Tidak dinafikan ia adalah 'tindakan pengganas' bertujuan untuk memusnahkan infrastruktur penting kepada Moscow," katanya ketika mesyuarat bersama ketua jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu.

Siasatan awal mendapati letupan itu berpunca daripada sebuah trak yang melakukan perjalanan merentasi Bulgaria, Georgia, Armenia, wilayah North Ossetia dan Krasnodar sebelum melalui jambatan tersebut. - AFP