Dua sahabat pilih sambung belajar di UniSZA

Krishnan (kiri) dan Ramesh ketika mendaftar di UniSZA pada Isnin.
Krishnan (kiri) dan Ramesh ketika mendaftar di UniSZA pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Walaupun menjangkau usia warga emas, dua sahabat nekad memilih untuk menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Khrishnan Madavanair, 77, yang merupakan seorang pesara dan Ramesh Rajagopal, 56, mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-undang selama empat tahun tempoh pengajian pada Isnin.

Menurut Krishnan, keputusannya menyambung belajar kerana nekad mahu menjadi seorang insan berguna dan berwibawa.

Bapa kepada lima orang anak itu telah lama berhasrat untuk menggenggam segulung Ijazah dan tawaran diterima untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan amat ditunggu-tunggu.

"Saya gembira kerana impian untuk menggenggam segulung ijazah bakal menjadi kenyataan.

“Saya dapat sokongan penuh daripada isteri dan anak-anak. Mereka sanggup berkorban masa dan tidak jemu memberi dorongan untuk saya menggapai cita-cita,” katanya ketika ditemui di UniSZA pada Isnin.

Sementara itu, Ramesh berkata, dia memilih untuk menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang di UniSZA kerana ingin menjadi seorang peguam yang bertauliah.

Artikel Berkaitan:

Ramesh (kiri) dan Krishnan sama-sama mendaftar ketika di UniSZA bagi kemasukan semester satu sesi 2022/2023 pada Isnin.
Ramesh (kiri) dan Krishnan sama-sama mendaftar ketika di UniSZA bagi kemasukan semester satu sesi 2022/2023 pada Isnin.

Bapa kepada tiga orang anak itu mendapat sokongan penuh keluarga untuk menyambung pelajaran.

“Saya bercita-cita membantu mereka yang kurang upaya untuk mendapatkan keadilan dengan mengendalikan kes secara pro bono.

"Di samping memenuhi komitmen terhadap keluarga, saya telah bersedia meluangkan masa untuk mencapai cita-cita sekali gus mahu memberi inspirasi kepada anak saya yang sedang belajar, ” katanya.

Khrisnan dan Ramesh yang berasal dari Kuantan, Pahang memilih untuk tinggal di luar kampus bagi memudahkan pergerakan sekiranya mereka mempunyai urusan keluarga.

Kedua-dua sahabat itu berkenalan ketika menyertai program Seiring Sejalan, Jom Belajar di Kuantan sebelum sama-sama memutuskan untuk menyambung pengajian.

Seramai 2,299 pelajar baharu bagi pengajian peringkat ijazah sarjana muda UniSZA bagi kemasukan semester satu sesi 2022/2023 mula mendaftar pada Isnin.