'Pejabat Mufti tidak pernah beri kelulusan'

Dr Wan Salim
Dr Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Pejabat Mufti Pulau Pinang tidak pernah memberi sebarang kelulusan berhubung penganjuran program yang menampilkan lelaki yang mendakwa sebagai keturunan junjungan besar Nabi Muhammad SAW di sebuah universiti awam di negeri ini pada 3 Oktober lalu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Jabatan Mufti Negeri bukan pihak yang meluluskan program ceramah, tazkirah dan sebagainya.

Sebaliknya beliau berkata, pihak yang meluluskan segala aktiviti berkaitan ceramah agama (Islam), tazkirah dan dakwah ialah Jabatan Agama Islam Negeri.

"Saya difahamkan penganjur program yang melibatkan Mawla Muhammad Amin al-Idrisi di Univerisiti Sains Malaysia (USM) itu tidak memohon kebenaran daripada pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang.

"Saya juga difahamkan bahawa mana-mana pihak yang ingin membawa masuk penceramah agama dari luar negara dikehendaki mendapat kebenaran pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Dr Wan Salim mengesahkan beliau mendapat jemputan untuk hadir ke program berkenaan dan pada mulanya memaklumkan kepada penganjur akan hadir.

Bagaimanapun jelasnya, beliau membatalkannya setelah mendapat maklumat yang meragukan mengenai figura warga Maghribi tersebut.

"Memang ada keraguan. Penipuan boleh berlaku di mana-mana dan dalam pelbagai bentuk dan cara termasuk dakwaan oleh individu tertentu konon dirinya berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

"Dakwaan sedemikian mungkin bertujuan untuk mencari kemasyhuran, medapat pengaruh, mengumpul wang atau tujuan-tujuan yang lain lagi.

"Kita tidak boleh menghalang sesiapa yang ingin mengadakan majlis untuk meraikan atau menghormati individu tertentu yang dipercayai daripada keturunan Rasulullah SAW.

"Kita faham tindakan ini bermotifkan kecintaan kepada Nabi yang mulia dan keturunan Baginda," katanya.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, tidak dinafikan agama Islam menghendaki umatnya mencintai dan menghormati Rasulullah SAW dan keturunan Baginda.

Bagaimanapun tegasnya, pihaknya mengingatkan masyarakat Islam di negara ini supaya berhati-hati apabila ada orang tertentu mendakwa dirinya berketurunan Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, individu yang mengaku dirinya berketurunan Rasulullah perlu disiasat kesahihan dakwaannya sama ada melalui dokumen yang asli atau dengan penyaksian pihak-pihak yang boleh dipercayai.

"Pihak berkuasa agama seperti Jakim dan Jabatan Agama boleh menyiasat latar belakang individu yang mendakwa dirinya berketurunan Rasul yang mulia.

"Kementerian Dalam Negeri dan Kedutaan Malaysia di negara individu berkenaan boleh diminta bantuan dalam hal ini," katanya.

Sementara itu, Wan Salim berkata, Malaysia memang menjadi sasaran para penipu kerana masyarakat Islam di sini terkenal pemurah dan dermawan terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam.

"Kita tidak boleh memberi reaksi yang tergesa-gesa dan taksub sama ada menyokong atau menolak seseorang yang mendakwa berketurunan Rasulullah SAW.

"Cuma kita perlu tahu dan faham bahawa di dalam pertimbangan Islam, keturunan yang mulia bukan kriteria bagi kemuliaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!