YBR bina Serambi Ilmu, salur RM100,000 kepada pelajar miskin UPM

Abdul Rahman (dua dari kanan), Mohd Roslan (tiga dari kiri) dan Syaiful Rizal (kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian YBR dan Perasmian SIR Corner kepada pelajar UPM.
Abdul Rahman (dua dari kanan), Mohd Roslan (tiga dari kiri) dan Syaiful Rizal (kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian YBR dan Perasmian SIR Corner kepada pelajar UPM.
A
A
A

SERDANG - Prihatin kepada mereka yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan Bantuan Awal Pengajian kepada 100 orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kesemua perima bantuan ini adalah daripada keluarga B40 untuk mereka memulakan pengajian.

Selain itu, YBR juga turut menyumbang satu ruangan ilmu yang dikenali sebagai Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner, sebagai satu sudut untuk para pelajar mencari bahan untuk menambah ilmu pengetahuan dan kajian mereka.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Dr. Abd Rahman Bakri yang hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian YBR dan Perasmian SIR Corner kepada pelajar UPM berharap agar bantuan ini dapat membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh para pelajar dan keluarga mereka dalam memulakan pengajian bagi semester yang baru sahaja bermula.

Pada majlis yang berlangsung di Menara 1 Bank Rakyat Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, UPM diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman.

Turut hadir Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

YBR memperuntukan RM100,000 kepada pelajar UPM yang telah menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Abd Rahman berkata, misi membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan terutama daripada kalangan masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar dapat memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Projek 'SIR Corner' merupakan projek YBR dalam menyediakan ruangan selesa yang dilengkapi dengan peralatan komputer bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan bacaan digital SIR yang bersesuai dengan pelajar.

Projek ini merupakan kolaborasi bersama 18 Institut Pengajian Tinggi terpilih di seluruh Malaysia yang melibatkan peruntukan sebanyak RM270,000.