Remaja hilang di tali air ditemui lemas

Anggota bomba melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum mayatnya berjaya ditemui.
Anggota bomba melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum mayatnya berjaya ditemui.
A
A
A

KUANTAN - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di tali air Kampung Padang Lalang, Temerloh ditemui mati lemas, pada Ahad.

Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 9.25 malam, sejam selepas dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat kira-kira 10 meter dari lokasi dia disyaki hilang.

"Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian jam 8.28 malam sebelum dua pegawai bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ismail berkata, teknik pencarian di permukaan telah dijalankan di tali air tersebut sebelum mayat mangsa berjaya ditemui.

Katanya, mayat remaja terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan: