PRU15: UMNO Selangor sudah terima senarai nama calon

Noh (tengah) bersama ahli Wanita UMNO Tanjong Karang pada Majlis Perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di IPP, pada Ahad.
Noh (tengah) bersama ahli Wanita UMNO Tanjong Karang pada Majlis Perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di IPP, pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor sudah menerima keseluruhan senarai nama calon 22 bahagian parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, senarai itu melibatkan lima calon dan penyandang bagi setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, semua senarai nama di semua bahagian di Selangor telah diterima beliau pada baru-baru ini.

"UMNO Selangor akan menyerahkan senarai nama calon ini kepada pucuk pimpinan tertinggi parti dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) di sini, pada Ahad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, soal siapa calon biarlah ditentukan pimpinan tertinggi UMNO.

"Kita kini hanya menunggu keputusan penuh pimpinan parti dalam menentukannya termasuk keputusan sama ada bergerak secara solo atau sebaliknya kita sentiasa akur dengan arahan parti," kata beliau.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua Pengerusi UMNO Negeri yang melibatkan 191 bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri memberi senarai nama kepada 'Top 5' bagi penentuan calon sehingga Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid memberitahu, calon berkenaan perlu mempunyai kriteria WALI iaitu boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).

Dalam pada itu, Noh memberitahu, UMNO akan melancarkan jentera di peringkat bahagian dan cawangan dalam tempoh terdekat.

"Kita sentiasa bersedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya seolah-olah berlaku pada hari esok," katanya.