Suami isteri tular hisap gam dibawa ke balai polis

Tangkap layar video dua individu sedang menghidu sesuatu dalam plastik ketika memandu. - Foto media sosial
Tangkap layar video dua individu sedang menghidu sesuatu dalam plastik ketika memandu. - Foto media sosial
A
A
A

MELAKA - Pasangan suami isteri yang disyaki menghisap gam dalam kereta dipandu telah dibawa ke balai polis untuk siasatan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ia susulan video tular berdurasi 18 saat yang memaparkan mereka menghisap gam dan terdapat seorang kanak-kanak berada di tempat duduk belakang kenderaan.

"Susulan itu, pasukan polis pergi ke sebuah rumah di Kampung Bukit Pegoh, Pernu di sini dan berjumpa pemilik kenderaan yang ditularkan itu kira-kira jam 11 malam untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

"Pemandu lelaki berusia 33 tahun dan dua penumpang iaitu isteri berusia 23 tahun serta anak tirinya berusia empat tahun telah dikesan dan dibawa ke balai polis. Hasil soal siasat hanya suami mengaku menghisap gam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun Christopher berkata, hasil saringan ujian air kencing menunjukkan pasangan yang baharu sebulan berkahwin itu negatif dadah.

“Kes seterusnya disiasat di bawah peraturan 17 LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalulintas 1959 kerana kesalahan kedudukan pemandu semasa memandu tidak membolehkan kenderaan dikawal dengan sempurna.

"Kedua-dua mereka kemudian dibebaskan sejurus soal siasat selesai dijalankan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan tindakan dua individu dipercayai suami isteri disyaki sedang menghidu gam ketika berada dalam kereta menarik perhatian orang ramai yang bimbang kelakuan tersebut boleh mengundang bahaya terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.

Artikel Berkaitan: