Polis tahan dua lelaki, rampas dadah RM236,000

Muhamad Zaki menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi pada 4 dan 6 Oktober lalu.
Muhamad Zaki menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi pada 4 dan 6 Oktober lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan merampas dadah bernilai RM236,000 dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah pada 4 Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, melalui serbuan itu, dua lelaki turut ditahan.

Menurut beliau, suspek pertama merupakan seorang penganggur berusia 22 tahun ditahan di tepi jalan Kampung Cherang Lali, Tanah Merah bersama bungkusan plastik yang dibimbit.

"Hasil ujian urin mendapati dia negatif dadah dan tiada rekod lampau," katanya pada sidang akhbar Ketua Polis Kelantan di sini pada Ahad.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut dalam plastik terbabit terdapat bungkusan berikat gelang getah dan mengandungi botol plastik yang didalamnya disyaki dadah jenis heroin.

"Kesemua jumlah rampasan bernilai RM200,000 dan suspek direman tujuh hari bermula 5 Oktober lalu," katanya.

Muhammad Zaki memberitahu, susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah di Kampung Kursial Baru, Tanah Merah.

Polis kemudian melakukan pemeriksaan di bilik kedua dan menemui bungkusan plastik di bawah katil dipercayai dadah jenis syabu.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum itu polis terpaksa menggunakan alat pemotong besi untuk membuka mangga pintu bilik terbabit sebelum menemui dadah seberat satu kilogram bernilai RM36,000," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki memberitahu, polis turut merampas dadah bernilai lebih RM37,000 melalui Ops Tapis Bersepadu yang bermula 6 Oktober lalu.

Katanya, kesemua jumlah dadah itu boleh digunakan sehingga 3,775 penagih dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.