'Beri tanggungjawab lebih besar kepada tenaga muda'

Sultan Nazrin. - Foto fail Bernama
Sultan Nazrin. - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Golongan belia perlu diberikan kepercayaan berada di barisan hadapan, menyuntik dinamisme baharu dan berperanan secara ketara sebagai pemangkin pembaharuan (game changer).

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, legasi tamadun Islam wajib disegarkan melalui pendekatan meremajakan gerakan pembangunan ummah dengan melibatkan penyertaan aktif lebih ramai belia.

Menurut baginda, golongan remaja wajib didampingi, suara dan pandangan mereka perlu didengari serta difahami selain kehadirannya diiktiraf agar dapat dilaksanakan program pembangunan ummah yang lebih kontemporari dan relevan dengan keperluan serta cabaran semasa.

"Sudah menjadi sunnah, yang lama perlu diperbaharui agar kehendak dan keperluan semasa dapat dipenuhi. Gerakan pembangunan ummah perlu dihembus nafas baharu dengan nilai-nilai kontemporari melalui usaha yang lebih segar, lebih berstrategi, penuh berwawasan, seiring dengan arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat.

"Kita perlu berani mewasiatkan tanggungjawab lebih besar kepada tenaga muda, agar tenaga muda berpeluang berperanan lebih aktif dan efektif, menterjemahkan idealisme kepada realiti, berkompas minda yang dahagakan pembaharuan.

"Selain itu, menyuburkan pemikiran intelek dengan daya analitis, kritis, kreatif dan inovatif mengetengahkan perspektif yang berbeza dalam menyelesaikan masalah melalui perekayasaan dan pemikiran semula kaedah-kaedah lama yang semakin usang," titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Ahad.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Sultan Nazrin bertitah, Rasulullah SAW meletakkan pemuda di kedudukan istimewa dengan membimbing dan mencorakkan diri mereka agar bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

"Nyatalah Rasulullah SAW mengiktiraf golongan belia. Baginda yakin keupayaan para belia, lantas mengamanahkan tanggungjawab dan peranan penting pada mereka.

"Meremajakan gerakan pembangunan ummah yang menjadi wacana pada hari ini merupakan kesinambungan usaha yang pernah dilaksanakan oleh para rasul berpandukan kisah mengenai peranan bermakna angkatan muda seperti yang terkandung dalam surah An-Nisaa, Yunus, Yusuf, Al-Kahfi, dan Al-Anbiya," titahnya.

Titah baginda, sejarah mencatatkan anak muda memiliki karisma, kewibawaan dan kehebatan untuk mencipta kejayaan apabila diberikan peluang.

"Seperti yang dibuktikan oleh Muhammad al-Fatih, mewarisi takhta Kesultanan Uthmaniyyah ketika berusia 19 tahun dan pada usia 21 tahun berjaya menakluki Constantinople, Alexander The Great mewarisi takhta pemerintahan Macedonia ketika berusia 20 tahun.

"Sementara Salahuddin al-Ayubi menjadi Sultan di Mesir dan Syria, mengasaskan dinasti Ayubbi ketika berusia 37 tahun. Ketika memimpin gerakan kemerdekaan Indonesia, Soekarno melaungkan ungkapan, 'beri aku sepuluh pemuda, maka akan ku goncang dunia'," titahnya.

Sultan Nazrin bertitah, cara dan pendekatan baharu turut memerlukan tenaga yang dinamik, memiliki zahir yang cerdas serta tenaga penggerak yang lebih memahami persekitaran dan cabaran semasa untuk membina masa hadapan yang lebih terjamin.