Hadiah bermakna Militao bersama Real Madrid

Militao (kiri) meledak gol tunggal ketika membantu Madrid mengalahkan Getafe 1-0 pada Ahad. - Foto Agensi
Militao (kiri) meledak gol tunggal ketika membantu Madrid mengalahkan Getafe 1-0 pada Ahad. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN pertahanan, Eder Militao meraih hadiah bermakna penampilan ke-100 bersama Real Madrid apabila menyumbat gol tunggal ketika menewaskan Getafe 1-0 dalam aksi La Liga pada Ahad.

Madrid meraih gol seawal minit keempat hasil tandukan pemain Brazil itu yang menyudahkan sepakan sudut Luka Modric.

Kemenangan itu melonjakkan Los Blancos ke puncak liga dengan kelebihan tiga mata ke atas Barcelona yang akan melayan kunjungan Celta Vigo di Camp Nou awal pagi Isnin.

Skuad Carlo Ancelotti beraksi tanpa bolos kali pertama dalam saingan liga musim ini di Coliseum untuk membawa pulang tiga mata berharga.

"Kami mahu menjaringkan lebih daripada satu, dua atau tiga gol tetapi pada masa sama gawang kami kebal di sini membolehkan kemenangan dicapai.

"Menang dengan tanpa bolos menjadikan ia lebih menarik," ujar pemain pertahanan, Dani Carvajal.

Pemain sensasi, Karim Benzema tiada dalam senarai pasukan yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.

Los Blancos berharap penyerang Perancis itu kembali cergas sepenuhnya untuk aksi Clasico minggu hadapan.

Artikel Berkaitan:

Penyerang itu gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhirnya sejak pulih kecederaan paha, namun Madrid tidak perlukan masa lama untuk menembusi gawang lawan tanpanya.