Kapal pengangkut jet RM15.42 bilion Britain rosak lagi

Kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales milik Tentera Laut Diraja Britain kini mengalami kerosakan. - Foto PA
Kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales milik Tentera Laut Diraja Britain kini mengalami kerosakan. - Foto PA
A
A
A

LONDON - Sebuah kapal pengangkut pesawat yang bernilai £3 bilion (RM15.42 bilion) milik Tentera Laut Diraja Britain rosak lagi selepas ia mengalami masalah teknikal baru-baru ini.

Kapal HMS Prince of Wales itu sebelum ini rosak di Isle of Wight pada Ogos lepas selepas belayar dari Pangkalan Tentera Laut Portsmouth untuk mengambil bahagian dalam percubaan penerbangan dan lawatan diplomatik di AS.

Ia kemudian dihantar semula ke pelabuhan tersebut selepas mengalami masalah teknikal.

Kapal itu mula-mula dijangka belayar pada Isnin lalu tetapi kerja-kerja pembaikannya tidak selesai tepat pada masanya.

Pemeriksaan oleh para penyelam dan jurutera mendapati bahawa bahagian kipas kanan yang seberat 33 tan kapal tersebut mengalami kerosakan.

Satu keputusan telah dibuat ia perlu dihantar ke Rosyth, Fife, Scotland iaitu tempat kapal tersebut dibina bagi menjalani kerja-kerja pembaikan di dok kering.

Menurut seorang pegawai tentera, Laksamana Muda Steve Moorhouse, para penyelam Tentera Laut Diraja telah memeriksa aci kanan pada kipas kapal dan kawasan bersebelahan.

Katanya, mereka telah mengesahkan terdapat kerosakan ketara pada aci tersebut dan beberapa kerosakan pada kemudi tetapi tiada kerosakan pada seluruh kapal.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini Tentera Laut Diraja Britain masih belum mengulas mengenai tempoh pembaikan di Rosyth.

Namun, ia dijangka mengambil masa dan tentera laut itu juga tidak mengetahui berapa lama kapal pengangkut pesawat tersebut tidak akan melaksanakan tugasnya bersama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bagaimanapun, kerja-kerja pembaikan itu dipercayai mungkin mengambil masa beberapa bulan. - Agensi