Thailand memperingati mangsa tragedi amuk taska

Orang ramai bersembahyang di kuil Wat Rat Samakee selepas kejadian tembakan beramai-ramai di bandar Uthai Sawan, wilayah Nong Bua Lam Phu. Foto: Reuters.
Orang ramai bersembahyang di kuil Wat Rat Samakee selepas kejadian tembakan beramai-ramai di bandar Uthai Sawan, wilayah Nong Bua Lam Phu. Foto: Reuters.
A
A
A
UTHAI SAWAN - Foto anak kecil tersenyum riang, mainan, bunga dan susu diletakkan di atas deretan keranda kecil di Wat Si Uthai di Uthai Sawan, wilayah Nong Bua Lamphu.

Mereka ialah mangsa pembunuhan dalam kejadian amuk di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Uthai Sawan kira-kira 500 kilometer dari timur laut Bangkok.

Upacara pengebumian diadakan di tiga kuil - Wat Ratsamakkee, Wat Si Uthai dan Wat Thepmongkulpichai di daerah Na Klang mulai Sabtu.

Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn berkenan menganugerahkan upacara pembakaran diraja dijalankan buat kesemua 36 mangsa.

Prosiding pengebumian bermula pada petang Sabtu dan upacara pembakaran mayat dijangka pada Selasa.

Pada Khamis seorang anggota polis yang dipecat bertindak membunuh 36 orang termasuk 24 kanak-kanak - 21 lelaki dan tiga perempuan berusia antara dua hingga empat tahun dan 12 dewasa termasuk isterinya di Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu.

Lelaki berusia 34 tahun itu dilaporkan membunuh 23 kanak-kanak yang sedang tidur selepas mereka selesai menikmati makan tengah hari.

Pembunuh kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan pulang ke rumah serta membunuh isteri dan anak lelakinya sebelum bertindak membunuh diri.

Upacara pembakaran mayat lelaki itu dijalankan di sebuah kuil di Udon Thani pada Sabtu selepas kuil di Nong Bua Lamphu enggan mengadakan upacara berkenaan. - Bernama
Artikel Berkaitan: