Pertambahan peruntukan bukti keprihatinan terhadap agromakanan

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan sebanyak RM5.32 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memacu sektor agromakanan supaya menjadi sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan sebanyak RM5.32 bilion kepada MAFI itu termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.78 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.54 bilion.

"Pertambahan sebanyak 10.4 peratus berbanding Bajet 2022 membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memacu sektor agromakanan supaya menjadi sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

"Pelbagai inisiatif baharu dengan mengambil kira aspek pemerkasaan ekonomi, perlindungan sosial dan kemampanan alam sekitar akan dilaksanakan pada tahun 2023," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ronald turut menyambut menyambut baik Bajet 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion dan lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini.

"Peruntukan ini antara lain jelas menunjukkan peranan MAFI dalam melaksanakan pelbagai program, projek serta inisiatif strategik dan bersasar bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara sepanjang tempoh pemulihan ekonomi yang dijangka akan lebih mencabar pada tahun hadapan," ujarnya.

Menurutnya, bagi OE dalam Bajet 2023, MAFI telah menerima keseluruhan RM1.8 bilion di bawah program khusus untuk meneruskan pemberian subsidi dan insentif untuk industri padi dan perikanan untuk tahun 2023.

"Peruntukan yang diluluskan ini meningkat sebanyak RM500 juta berbanding tahun 2022. Peruntukan ini termasuk RM1.62 bilion bagi subsidi benih, baja dan harga padi termasuk subsidi baja padi huma.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, insentif hasil tangkapan nelayan juga turut disediakan berjumlah RM178.2 juta," katanya.

Dalam pada itu, Ronald berkata, peruntukan itu adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini dengan mengambil kira faktor-faktor seperti jangkaan peningkatan pengeluaran hasil padi sebanyak dua juta tan metrik berikutan pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) melalui pengurusan sawah secara berskala besar.

"Selain keperluan benih sebanyak 72,000 tan metrik untuk menampung situasi luar jangka akibat bencana alam seperti kemarau dan banjir.

"Peningkatan harga pasaran bahan mentah dunia akibat kesan pandemik Covid-19 dan konflik geopolitik Rusia-Ukraine dan anggaran kenaikan harga input pertanian seperti baja antara 30 hingga 40 peratus," jelasnya.

Katanya, bagi DE pula peruntukan yang diluluskan meningkat sebanyak RM2 juta berbanding tahun 2022.

"Ini adalah selaras dengan momentum pelaksanaan projek yang telah memasuki separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan jumlah peruntukan DE sebanyak RM1.54 bilion.

"Secara keseluruhannya, pelbagai projek akan dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di bawah MAFI pada tahun 2023 untuk merancakkan lagi aktiviti pertanian serta meningkatkan pengeluaran dan pendapatan pengeluar makanan," ujarnya.

Tambah beliau, secara dasarnya, fokus MAFI dalam Bajet 2023 telah diterjemahkan melalui beberapa inisiatif yang diberikan penekanan seperti berikut antaranya program pelaburan Agrovest oleh Agrobank bagi menyediakan dana permulaan kepada syarikat pemula pertanian berteknologi moden dengan dana RM250 juta.

"Selain bantuan khas kepada pesawah dengan kadar RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah dengan peruntukan sebanyak RM228 juta.

"Pelaksanaan pelbagai inisiatif merangkumi pembangunan kelestarian agromakanan dengan peruntukan sebanyak RM56 juta seperti penghasilan makanan ternakan dengan menggunakan 'black soldier fly'," jelasnya.

Tambahnya lagi, pengenalan Skim Perlindungan Pertanian untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak bermula dengan pesawah padi.

"Akhir sekali adalah pelanjutan tempoh galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan sehingga akhir tahun 2025 dengan skop galakan yang diperluas untuk merangkumi projek pertanian moden berasaskan 'Controlled Environment Agriculture'," katanya.

Jelas Ronald, selain inisiatif-inisiatif di bawah MAFI, terdapat beberapa inisiatif lain yang menyokong agenda sekuriti makanan negara termasuk Skim Pembiayaan Agrofood Bank Negara Malaysia (BNM) dengan dana sejumlah RM1 bilion pada kadar 3.5 peratus dan Dana Pinjaman Kerajaan sebanyak RM10 bilion menerusi BNM kepada syarikat kecil dan sederhana.

Beliau berkata, program Pembangunan Semula Hasil Baharu dilaksanakan bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan RM40 juta.

"Ini merangkumi termasuk program Agropenjara bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan melibatkan 70 hektar tanah penjara dengan peruntukan berjumlah RM10 juta.

"Selain program untuk mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar milik FELDA, FELCRA dan RISDA dan agensi di bawah MAFI dengan keluasan sehingga 800 ekar bagi mengusahakan tanaman makanan," jelasnya.

Ronald memaklumkan MAFI sebagai peneraju dalam agenda sekuriti makanan negara akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Bajet 2023 secara cekap bagi menjamin kelangsungan aktiviti di sepanjang rantaian dan subsektor agromakanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.

"Inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan melalui Bajet 2023 juga selari dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan

Negara 2021-2025 untuk memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan," katanya.

Jelas Ronald, MAFI melalui Bajet 2023 akan terus mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan sosioekonomi semua kumpulan sasar termasuk pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha agromakanan.

"Peranan barisan hadapan sektor agromakanan negara akan terus diperkasa dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara seiring dengan agenda Bajet 2023 yang responsif, bertanggungjawab dan reformis," katanya.