Limpahan peruntukan bukti kerajaan tak pinggir Kelantan - Fahmi

Fahmi bersalaman bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Bernama
Fahmi bersalaman bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Limpahan peruntukan projek pembangunan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kelantan membuktikan kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan negeri ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, justeru tidak patut ada dakwaan daripada pihak tertentu mengenai hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Terbukti pada malam ini Kelantan tidak dianaktirikan dengan peruntukan tambahan bilion ringgit.

"Mereka perlu mendengar sendiri bagaimana Perdana Menteri menyatakan sejumlah projek dan peruntukan yang diberikan khusus untuk memastikan pembangunan di Kelantan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini sebentar tadi.

Fahmi berkata, beliau dapat melihat hubungan antara Anwar dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sangat baik dan mereka boleh meneruskan perbincangan selepas pengumuman itu.

"Saya melihat Kelantan tidak tertinggal dan hubungan yang baik ini sudah pasti akan dinikmati oleh rakyat.

"Suasana malam ini sangat ceria dan meriah. Malam ini kita lihat hubungan rapat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.