Nur NilamSari bukti OKU mampu lakar kejayaan

OKU penglihatan, Nur NilamSari berjaya memperoleh sijil.
OKU penglihatan, Nur NilamSari berjaya memperoleh sijil.
A
A
A

NILAI - Berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan, seorang graduan berjaya membuktikan kekurangan diri bukanlah penghalang buatnya memperoleh sijil pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka 2022 pada Sabtu.

Mengambil jurusan Sijil Pengembaraan dan Pelancongan di Kolej Komuniti Tangga Batu, Melaka, Nur NilamSari Azimi, 21, mengalami masalah penglihatan sejak berumur tiga tahun.

Menurutnya, masalah itu dikesan ibunya apabila menyedari keadaan mata sebelah kanannya berwarna kelabu dan dipercayai akibat tertusuk sesuatu yang tajam.

"Sejak itu, hanya mata kiri sahaja yang berfungsi dengan baik namun ada masanya ia sedikit mengganggu ketika sesi pembelajaran dan ulangkaji pelajaran.

"Bagaimanapun, saya sentiasa meletakkan kekurangan dimiliki ini sebagai pembakar semangat untuk mencapai impian walaupun pada awalnya agak sukar. Malah, keluarga banyak memberi sokongan untuk saya meneruskan pengajian dalam bidang yang amat saya minati," katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, proses pengajian selama dua tahun enam bulan di kolej berkenaan menjadi semakin mudah apabila pensyarah dan pihak kolej turut prihatin dengan keadaan dirinya.

Buktinya, dia berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan Purata Nilai Gred Komulatif 3.86.

Nur NilamSari (kanan) berkesempatan berkongsi kejayaan bersama ibu dan ayah rakannya.
Nur NilamSari (kanan) berkesempatan berkongsi kejayaan bersama ibu dan ayah rakannya.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga bersyukur kerana sepanjang pengajian, rakan-rakan tidak pernah lokek menghulurkan bantuan di saat memerlukan dan saya berhasrat untuk menyambung pengajian di politeknik,” katanya yang merupakan antara 825 graduan Diploma dan Sijil dari 11 Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka yang diraikan pada majlis tersebut.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Roslee Yahaya.

Roslee dalam ucapannya berkata, graduan yang dihasilkan kolej komuniti berkualiti dan mendapat permintaan tinggi di pasaran berikutan kebolehpasaran graduan sebanyak 94.8 peratus.

"Kolej Komuniti komited dalam menyahut seruan kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai pekerja mahir terutamanya dalam bidang 3D iaitu 'Dirty, Dificult dan Dangerous'," katanya.

Tambahnya, kolej komuniti juga telah melahirkan ribuan graduan berkemahiran sejak penubuhannya pada tahun 2000 bagi membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan secara tidak langsung merancakkan ekonomi setempat.