Bajet 2023: Bukti kesungguhan kerajaan tingkat syiar Islam

Hakimah
Hakimah
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan berjumlah RM1.5 bilion khusus untuk manfaat pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim selaku agensi penyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan menyambut baik pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat.

"Peruntukan RM1.5 bilion ini adalah bagi pengurusan dan pelaksanaan program keseluruhan agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti Jakim, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan lain- lain.

"Sebahagian besar peruntukan ini adalah bagi tujuan pendidikan Islam di seluruh negara iaitu pembiayaan elaun kepada 35,000 orang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), 5,000 orang guru takmir serta imbuhan kepada 14,373 orang imam di masjid-masjid kariah di negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas peruntukan sebanyak RM150 juta yang disediakan kerajaan untuk penyelenggaraan fasiliti institusi pendidikan di bawah penyelarasan Jakim seperti sekolah agama rakyat, pusat tahfiz, pondok dan premis KAFA.

"Bagi pihak golongan agamawan seramai 72,000 orang yang terdiri daripada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut, Jakim juga menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan khas sebanyak RM500 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta.

"Semoga peruntukan ini mampu memperkasakan lagi umat Islam di negara ini serta dapat memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.

Tengku Zafrul mengumumkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Artikel Berkaitan: