Pelancongan: Bajet 2023 tak beri kesan jangka panjang positif

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) berpandangan bahawa Bajet 2023 tidak dapat memberi kesan jangka panjang yang positif terhadap usaha pemulihan industri perhotelan negara.

Presidennya, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, dalam mengembalikan keupayaan industri perhotelan, kerajaan seharusnya berupaya untuk memperkenalkan suatu bajet yang lebih berkesan dalam menyelesaikan ancaman-ancaman industri.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah dalam mendapatkan kembali cukai-cukai yang telah hilang atau ketirisan hasil akibat kegagalan dalam mengambil tindakan awal terhadap ancaman-ancaman industri perhotelan.

Ia termasuklah ketiadaan undang-undang khusus untuk mengawal selia Penginapan Kediaman Jangka Masa Pendek (STRA) dan semua jenis Agensi Pelancongan Atas Talian (OTA’s).

“Kami juga kecewa apabila tiada perubahan terhadap usaha untuk menaikkan nilai ambang tahunan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi industri perhotelan daripada RM 500,000 kepada RM1.5 juta, yang mana hotel bajet adalah suatu industri yang digunakan oleh golongan B40.

“Kerajaan juga tidak memperkenalkan suatu insentif cukai khas untuk pelancong domestik, bertujuan untuk menggerakkan atau menggalakkan rakyat melancong dalam negara bagi merangsang kembali industri pelancongan dan perhotelan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sri Ganesh menambah, Bajet 2023 boleh dirangka dengan lebih baik bagi kelestarian industri perhotelan dalam merealisasikan pemulihan industri.

Selain itu katanya, kerajaan boleh memperkenalkan inisiatif-inisiatif dalam menyelesaikan kesemua ancaman-ancaman industri perhotelan, di samping bersifat lebih prihatin kepada industri perhotelan dan pelancongan yang telah terjejas sebelum penularan wabak Covid-19 di Malaysia dan keadaan ekonomi dunia.

Artikel Berkaitan:

“Ia akan mengambil masa yang lama untuk kembali kukuh akibat daripada pelbagai faktor ekonomi yang secara langsung memberi kesan kepada pelancong domestik, mahupun asing dan pengusaha-pengusaha industri perhotelan.

“Kami juga ingin memohon kerajaan untuk melanjutkan penguatkuasaan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829].

“Ia bagi memberi perlindungan khas kepada pengusaha-pengusaha industri perhotelan dan pelancongan tersebut daripada institusi-institusi perbankan atau kewangan, pemilik hartanah dan membolehkan mereka menangguhkan pelaksanaan kontrak, seperti mana yang tersebut dalam ‘Jadual Seksyen 7-Senarai Kategori Kontrak’ Akta 829 tersebut,” ujar beliau.