Kerajaan tubuh NSRC tangani penipuan dalam talian

Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat. - Foto Bernama
Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang mula beroperasi bulan ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu adalah usaha untuk membendung jenayah scam.

"Setiap hari, jenayah penipuan dalam talian atau online scam menjadi isu global yang semakin serius dan Malaysia turut tidak terkecuali," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Tengku Zafrul berkata, NSRC akan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah.

"Langkah-langkah keselamatan untuk perbankan internet turut diperketatkan oleh institusi perbankan dengan menghentikan penggunaan one-time-password (OTP) yang berasaskan khidmat pesanan ringkas (SMS) berisiko tinggi," katanya.

Beliau berkata, pusat itu juga menyediakan sebuah platform untuk orang ramai melaporkan mana-mana akaun atau nombor yang disyaki digunakan oleh penjenayah online scam.

"Kerajaan juga memperhebat tahap kesedaran literasi kewangan dan digital pengguna demi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus memperkasa CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan RM73 juta antaranya bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.

"Bagi melindungi pengguna kredit di samping memupuk pasaran kredit pengguna yang adil dan teratur, kerajaan komited untuk membentangkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna pada suku kedua 2023," katanya.

Tambah beliau, melalui usaha itu, sebuah pihak berkuasa amalan bebas yang baharu iaitu Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi mengawal selia semua aktiviti berkaitan kredit pengguna.