Bajet 2023: RM332 juta untuk program latihan, fasiliti sukan

Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM332 juta untuk program latihan dan fasiliti sukan dalam Bajet 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antaranya pertama RM145 juta untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

"Kedua, RM154 juta bagi menjayakan pembangunan ekosistem sukan yang menyeluruh melalui pencarian bakat baharu, program latihan, kelengkapan fasiliti sukan hinggalah membawa negara ke podium sukan antarabangsa.

"Ketiga, RM20 juta bagi membuka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Tengku Zafrul menambah, yang keempat ialah RM13 juta diperuntukkan untuk pembangunan e-sukan.

"Kelima, potongan cukai bagi mereka yang menyumbang kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi," katanya.

Artikel Berkaitan: