Elaun pelajar, pegawai tajaan JPA naik RM100

Kadar elaun sara hidup pelajar tajaan JPA akan diseragamkan dan dinaikkan RM100 sebulan.
Kadar elaun sara hidup pelajar tajaan JPA akan diseragamkan dan dinaikkan RM100 sebulan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kadar elaun sara hidup bagi pelajar dan pegawai dalam negara tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diseragamkan dan dinaikkan RM100 sebulan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, penyeragaman dan kenaikan di semua peringkat pengajian itu akan menjadikan elaun sara hidup tajaan JPA antara RM730 sehingga RM980 sebulan.

Selain itu katanya, kemudahan pendidikan buat anak-anak bumiputera khususnya daripada keluarga susah juga akan terus diberi perhatian.

"Tahun hadapan, sebahagian besar daripada peruntukan RM6.6 bilion kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah untuk menyediakan bumiputera dengan akses pinjaman pendidikan serta peluang mengikuti bidang profesional seperti kejuruteraan," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Tengku Zafrul menambah, semasa Jelajah Bajet 2023, beliau berpeluang untuk melawat Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melihat sendiri usaha mereka memasang sistem solar fotovolta di 90 lokasi bagi membekalkan tenaga bersih di kampus universiti berkenaan.

Disebabkan itu katanya, kerajaan akan menyediakan RM10 juta bagi menggalakkan universiti awam membudayakan inisiatif kampus hijau.

"Lebih RM300 juta juga disediakan bagi kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara kemudahan universiti awam," ujarnya.

Artikel Berkaitan: