[VIDEO] Bajet 2023: Bantuan RM500, RM1,000 kepada pencari kerja

Bagi meringankan beban pencari kerja, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin. - Gambar hiasan
Bagi meringankan beban pencari kerja, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bagi meringankan beban pencari kerja, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyediakan bantuan mobiliti masing-masing sebanyak RM500 dan RM1,000 kepada golongan itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan RM500 akan diberikan kepada pencari kerja yang mendapat pekerjaan di luar negeri bermastautin.

"Bantuan mobiliti RM1,000 pula akan diberikan kepada pekerja yang berhijrah jarak jauh dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Tengku Zafrul menegaskan, sejak Covid-19 melanda, soal pekerjaan terus menjadi tumpuan utama kerajaan.

"Tahun 2022, pelbagai inisiatif di bawah Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada lebih 310,000 orang setakat ini.

"Sungguhpun kita telah mencapai tahap guna tenaga penuh, namun tumpuan akan tetap diberikan bagi memastikan peluang kerjaya kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat," ujar beliau.

Tengku Zafrul menambah, pada tahun hadapan juga, kerajaan akan meneruskan Insentif Penggajian di bawah Perkeso bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia yang menganggur daripada golongan seperti orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, bekas banduan dan wanita yang kembali bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Untuk ini, insentif penggajian antara RM600 hingga RM750 sebulan akan dibayar untuk tempoh tiga bulan kepada majikan.

"Insentif juga akan disediakan kepada golongan veteran serta majikan dan agensi pekerjaan swasta yang menggantikan pekerja asing kepada pekerja tempatan," jelas Tengku Zafrul.

Katanya, di bawah Insentif Penggajian Perkeso itu, sebanyak RM150 juta disediakan dan dijangka dapat membuka peluang kerjaya kepada lebih 70,000 pencari kerja.