Bajet 2023 peruntuk RM372.3 bilion

Tengku Zafrul (tiga, kiri) meninggalkan Kementerian Kewangan untuk ke Parlimen bagi membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat. - Foto Bernama
Tengku Zafrul (tiga, kiri) meninggalkan Kementerian Kewangan untuk ke Parlimen bagi membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan Bajet 2022 iaitu RM332 bilion dan Bajet 2021 (RM322 bilion).

"Dicadangkan bajet ini RM272.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM95 bilion perbelanjaan pembangunan dan RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Menurutnya, sejumlah RM2 bilion disediakan sebagai simpanan luar jangka.

"Berbekal ruang fiskal yang ada ini, keutamaan Bajet 2023 akan tertumpu kepada usaha melindungi rakyat," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari daripada tempias perkembangan global yang kian mencabar.

"Maka, kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2023 dijangka menyederhana iaitu antara empat hingga lima peratus," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sebagai Keluarga Malaysia kerajaan perlu segera bertindak untuk mendepani setiap cabaran global yang mendatang dan pada masa sama bertanggungjawab membina masa depan yang cerah buat anak-anak generasi legasi.

Artikel Berkaitan:

"Ke arah Malaysia yang lebih baik, Bajet 2023 akan dipandu oleh 3R iaitu responsif, bertanggungjawab dan reformis," katanya.

Memperincikan 3R, beliau berkata, Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan melalui bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan semua segmen masyarakat.

"Bajet 2023 bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan kerajaan dalam jangka panjang," katanya.

Menurutnya, Bajet 2023 bertanggungjawab membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang.

"Bajet 2023 ialah reformis yang mengambil peluang merubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mampan di samping menyokong industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik," katanya.

Tegas Tengku Zafrul, bajet tahun hadapan tidak dirangka untuk golongan tertentu sahaja, tetapi kesemua buah fikir yang dikumpul, diteliti dan diadun menjadi satu iaitu sebuah Bajet 2023 hasil ilham Keluarga Malaysia.

"Lebih 100 inisiatif rakyat akan direalisasi sebagai sebahagian usaha holistik yang terkandung di dalam naskhah besar ini," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Bajet 2023 akan pastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

"Dalam memastikan agenda Bajet 2023 yang responsif, kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal yang mengembang.

"Pendekatan ini penting bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat dan menyokong perniagaan," katanya.