Suara harapan Bajet 2023

Antara harapan besar dan apa yang diinginkan oleh rakyat adalah bantuan bagi menangani kenaikan kos sara hidup. - Gambar hiasan
Antara harapan besar dan apa yang diinginkan oleh rakyat adalah bantuan bagi menangani kenaikan kos sara hidup. - Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini pastinya pelbagai peringkat masyarakat tidak kiralah warga emas, nelayan, petani, pemandu teksi, pesara, penjawat awam, pekerja swasta, peniaga, orang muda, orang kampung atau bandar akan tertumpu kepada pembentangan Bajet 2023.

Menerusi tinjauan dilakukan, antara harapan besar dan apa yang diinginkan oleh rakyat adalah bantuan bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Malah, tidak kurang juga yang mahukan gaji lebih kompetitif diberikan kepada sektor awam dan swasta bagi memenuhi keperluan meneruskan kesinambungan hidup bersama keluarga tersayang.

Dan sudah pasti, kerajaan akan melakukan yang terbaik, hasil daripada beberapa siri turun padang dan jelajah negeri, selain perbincangan dengan lebih 30 sesi kumpulan.

Hasil konsultasi antara pihak Kementerian Kewangan dan orang ramai, harapan paling tinggi untuk Bajet 2023 adalah supaya kerajaan dapat mengawal harga barangan di pasaran.

Rintihan rakyat mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada kesejahteraan dan kehidupan seharian akan diberi tumpuan, sesuai dengan slogan ‘Keluarga Malaysia’.

Harapan rakyat yang kedua adalah jaminan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda dan mereka yang ‘tercicir’ daripada alam pekerjaan akibat pandemik.

Ketiga, kerajaan diharap dapat meningkatkan perlindungan sosial, diikuti dana sokongan untuk usahawan muda dan memudahkan proses kelulusan pinjaman bank.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh tentang keperluan kediaman, Bajet 2023 menjadi sandaran agar peruntukan penempatan siswa diutamakan dalam kalangan B40 dan M40 dipenuhi.

Dalam pada itu, pelajar sama ada peringkat sekolah atau universiti mengharapkan pemberian baucar buku diteruskan.

Bagi pemandu e-hailing atau pekerja gig, mereka berharap subsidi penyelenggaraan motor p-hailing disenaraikan.

Dalam pada itu, ramai juga mengharapkan bantuan atau kelonggaran komitmen bulanan berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) secara berperingkat sehingga tahun depan.

Rata-rata peminjam mahukan kelonggaran bayaran balik terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

Banyak lagi harapan yang disandarkan oleh orang ramai dalam Bajet 2023 kali ini. Namun, bagi memenuhi semua kehendak rakyat adalah perkara yang sukar untuk dilunaskan di mana-mana dunia sekalipun.

Apa pun, It 'is better to be have something than to have nothing at all'.