Produk gantian nikotin dikecualikan bawah Akta Racun 1952

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan pengecualian kepada produk gantian nikotin dalam bentuk patch atau gum daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952 berkuat kuasa pada Khamis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pengecualian itu membabitkan produk gantian nikotin berdaftar bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984 yang digunakan sebagai bantuan untuk berhenti merokok.

“Buat masa ini, perokok yang ingin berhenti merokok mempunyai akses yang terhad kepada produk gantian nikotin memandangkan ia dikawal selia di bawah Akta Racun 1952.

“Akta ini menetapkan bahawa pembekalannya hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan berdaftar.

“KKM telah mengambil langkah proaktif dengan menjadikan produk gantian nikotin sebagai bukan racun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, penguatkuasaan pengecualian itu adalah selaras dengan pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2022 (P.U.(A) 309/2022) pada 5 Oktober 2022.

Menurutnya, dengan pengecualian itu, akses kepada produk gantian nikotin dalam bentuk patch atau gum kini menjadi lebih mudah dan meluas menerusi pembelian di kaunter termasuk di kedai runcit atau serbaneka yang membekalkannya.

“Amalan seperti ini turut dilaksanakan di negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia.

Artikel Berkaitan:

“Pengecualian ini juga diharap dapat membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok dalam menangani kesan simptom sarak (withdrawal symptom).

“Kebergantungan nikotin melalui sediaan patch atau gum didapati kurang memberikan kesan mudarat berbanding kebergantungan kepada nikotin melalui rokok,” ujarnya.

Khairy berkata, KKM akan sentiasa meningkatkan advokasi terhadap program berhenti merokok dengan menggalakkan perokok supaya berdaftar dengan program sedia ada seperti mQuit dan kempen lain yang berkaitan..