Aifa ketuai kontinjen negara dalam misi pertahan kejuaraan ATC

Aifa Azman - Foto fail Bernama
Aifa Azman - Foto fail Bernama
A
A
A

PEMAIN skuasy wanita kebangsaan, Aifa Azman, akan mengetuai kontinjen Malaysia dalam misi mempertahankan kejuaraan kategori wanita dan lelaki pada Kejohanan Berpasukan Asia (ATC) di Cheongju, Korea Selatan, dari 31 Oktober hingga 4 November ini.

Pengarah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berkata, selain Aifa, pasukan wanita negara akan disertai Rachel Arnold, Chan Yiwen dan Yee Xin Ying manakala pasukan lelaki terdiri daripada Addeen Idrakie, Mohd Syafiq Kamal dan Ong Sai Hung.

Katanya, pemain lelaki, Ivan Yuan Chee Wern telah menarik diri daripada kejohanan tersebut kerana mengalami kecederaan semasa sesi latihan.

"Ketiadaan Ivan Yuen akan memaksa skuad lelaki berusaha lebih gigih untuk mempertahankan gelaran. Namun begitu, kita bercita-cita untuk mara ke separuh akhir dengan naib juara India menjadi pasukan pilihan manakala Hong Kong dan Pakistan akan memberi saingan sengit.

Dalam kategori wanita, Malaysia dan naib juara Hong Kong adalah pasukan pilihan, katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pada kejohanan ATC di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini, tahun lalu, pasukan wanita ditabal selaku jaguh Asia selepas menundukkan penyandang juara, Hong Kong 2-1 manakala skuad lelaki negara mengalahkan India dengan keputusan sama pada aksi final.

Bagaimanapun, Maniam berkata, Ivan akan kembali beraksi pada kejohanan Terbuka Malaysia menerusi tiket wild card pada 22-26 Nov ini dengan dua rakan sepasukannya Addeen dan Mohd Syafiq sebagai simpanan manakala pasukan wanita akan menampilkan Chan, Yee, Rachel dan Aira Azman sebagai simpanan. - Bernama

Artikel Berkaitan: