Bomba Johor nafi dakwaan kejadian kepala air di Gunung Pulai

Mohd Rizal
Mohd Rizal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor hari ini menafikan terdapat kejadian kepala air di Gunung Pulai, dekat Kulai, susulan rakaman video yang tular di media sosial.

Pemangku Pengarah JBPM negeri, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya melakukan pemantauan kira-kira pukul 10.33 pagi tadi di sekitar Gunung Pulai dan mendapati tiada kejadian kepala air atau banjir di kawasan tersebut.

"Kami ingin menegaskan dan mengingatkan kepada orang awam supaya tidak menularkan sebarang kenyataan, gambar atau video lama yang boleh menggugat kesejahteraan serta keselamatan masyarakat setempat.

"Kami menyeru supaya masyarakat mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berwajib dan hubungi talian 999 jika berlaku sebarang kecemasan. Orang awam turut dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan merakam video untuk ditularkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 53 saat yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook yang mendakwa terdapat kejadian kepala air di sekitar gunung tersebut.

Sementara itu, Mohd Rizal berkata, JBPM negeri telah mengarahkan kesemua balai bomba agar membuat rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko berlaku banjir berikutan Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan. - Bernama

Artikel Berkaitan: