Pas tidak pernah buat pusingan U: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menegaskan parti itu tidak pernah membuat pusingan 'U' mengenai kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, Pas juga tidak pernah mengubah pendirian mereka mengenai perkara itu.

“Kita tidak pernah pusing. Kita jalan lurus. Pas tegaskan penyatuan ummah ini, kita tidak pernah undur ke belakang.

“Tidak pernah kita ubah. Daripada dahulu sampai sekarang. Jadi saya fikir tidak timbul pusingan U,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu.

Sebuah portal berita melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa memberi bayangan bahawa Pas akan membuat pusingan U dan kembali mengukuhkan MN tidak lama lagi.

Portal berita itu melaporkan, perkara berkenaan adalah antara isi taklimat yang disampaikan Ahmad Zahid dalam perjumpaan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tambah Tuan Ibrahim, Pas mempunyai pelan kedua jika penyatuan ummah yang diusahakan menerusi MN gagal.

Ini kerana katanya, MN bukan kepentingan politik yang hanya melibatkan UMNO dan Pas semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Tuan Ibrahim turut tidak kisah jika Pas masih dianggap bermain beberapa 'kolam'.

“Sekarang kita empat dan lima kolam pun tak ada isu, bila sebut penyatuan ummah, ia libatkan semua, bukan Pas dengan UMNO sahaja.

“Walaupun MN ini adakan perjumpaan secara tidak rasmi, tetapi MN ini platform bukan untuk politik tapi kepentingan masyarakat orang Islam dan sebagainya," katanya.

Ujar beliau, jika mahu dikira sensitif berasa hati, Pas lebih berasa hati dengan UMNO, 60 tahun berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Bersatu sendiri pun sebahagian daripada UMNO. Sebab itu itu kita kata ada beberapa isu kecil sahaja yang kita cuba selesaikan.

“Kalau berjaya, kita teruskan. Kalau tidak berjaya pun kita ada plan kedua,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menegaskan tiga syarat rasmi yang dikemukakan oleh UMNO kepada Pas tidak ada dalam kenyataan rasmi parti berkenaan.

“Saya fikir, kalau betul tiga syarat itu mesti masuk dalam kenyataan rasmi. Kenyataan rasmi tidak menyebut syarat-suarat tersebut,” tegasnya.

UMNO sebelum ini dilapor memberi kata dua kepada Pas sekiranya mahu meneruskan hasrat bekerjasama politik dengan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ahmad Zahid berkata, parti itu menetapkan tiga syarat utama kepada Pas iaitu perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Beliau berkata, Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah' (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.