Penganggur didakwa cederakan anggota polis

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah seorang anggota polis di sebuah kediaman di Jalan Siswi, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini bulan lepas.

Norazizul Lizam Miskun, 47, yang tidak diwakili peguam didakwa mencederakan Mohd Ridzuan Marsudi, 32, menggunakan parang pada 4.01 petang, 26 September lepas.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Rihaida Rafie memerintahkan Norazizul Lizam diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan untuk tidak mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 21 Disember ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Reetha.

Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini, Norazizul Lizam didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan dua kenderaan milik dua abangnya di kediaman yang sama, bulan lepas.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman itu ke atas Norazizul Lizam yang melakukan perbuatan itu di kediaman sama kira-kira 4 petang, 25 September dan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa dengan sengaja mengambil pasu bunga dan menghempasnya pada cermin dua kereta masing-masing milik Noor Hadi Miskun, 53, dan Nor Baiza Miskun, 49, sehingga menyebabkan cermin kenderaan berkenaan pecah serta mengakibatkan kerugian.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman.

Di Mahkamah Majistret berlainan di sini, Norazizul Lizam turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani atas satu pertuduhan memasukkan dadah jenis tetrahydro cannabinol hydrocarboxy lic acid (THC); methamphetamine dan amphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, di sini pada 7.40 malam, 26 September.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Nur Faizah kemudian memerintahkan tertuduh djamin RM2,000 dan menetapkan 21 November untuk tarikh serahan laporan patologi sebelum hukuman dijatuhkan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saidah Fasihah. - Bernama