20 tentera ditahan disyaki terlibat rompakan laut

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 20 anggota tentera ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua kes rompakan di laut di perairan Semporna, Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua suspek ditahan selepas pihak berkuasa menerima dua laporan berkaitan kejadian tersebut pada 15 dan 18 Ogos lalu.

“Terdapat dua kes rompakan di laut disyaki dilakukan anggota keselamatan pada Ogos lalu di perairan Pulau Siamil, Semporna, Sabah.

"Ia bersabit Bum Bum repot 1462/2022, kejadian pada 15 Ogos 2022 dan Bum Bum repot 1463/2022, kejadian pada 18 Ogos 2022," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan Semporna) yang meminta kerajaan memperincikan kejadian rompakan berkumpulan didakwa dilakukan anggota keselamatan negara pada Ogos lalu di perairan Pulau Siamil.

Hamzah memaklumkan, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan.

Katanya, semua suspek sudah dijamin pada 25 September lalu dan kes masih berada dalam siasatan.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kementerian perlu menunggu sehingga siasatan selesai," kata beliau.

Artikel Berkaitan: