Mesej tersirat Sanusi buat 'Kelana Jaya'

Sanusi - Foto KFA
Sanusi - Foto KFA
A
A
A

KELIHATAN seperti berseloroh, namun mungkin ada mesej tersirat yang mahu diluahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas skuadnya tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Darul Aman pada Selasa.

Beliau yang terkenal dengan karakter bergurau membuat catatan di laman Facebooknya mengucapkan tahniah kepada JDT yang menang 3-1 mengalahkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

“Tahniah JDT yang menang menentang KDA FC malam ini. Tahniah juga pemain dan penyokong KDA FC yang telah memberi komitmen terbaik. Kalah takpa jangan koyak,” katanya.

Bagaimanapun menerusi hantaran yang memuatkan video aksi itu Sanusi seakan-akan mempersoalkan keputusan perlawanan dengan mendakwa gol dijaringkan JDT ofsaid selain lawan pula diberikan penalti.

“Lepas off-side dan dapat penalti dalam bola sepak memang ada juai (jual) di kedai tepi jalan di Kelana Jaya,” tulis catatan itu diikuti emoji ketawa.

Mungkin ia tidak menjurus kepada mana-mana pihak, namun Kelana Jaya yang dimaksudkan seperti merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mempunyai pejabat di Kelana Jaya.

Dalam aksi itu, skuad Harimau Selatan beraksi dengan 10 pemain selepas Bergson da Silva dilayangkan kad merah di babak pertama.

Walaupun kekurangan pemain, JDT tetap mampu merangkul kemenangan hasil jaringan Bergson di minit 36, disusuli Leandro Velazquez (m-59) dan Afiq Fazail (m-78).

Artikel Berkaitan:

Skuad Kenari bagaimanapun terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Ronald Ngah pada minit ke-12.