Kerajaan Terengganu tetapkan panduan program hiburan

Ariffin Deraman - Foto Bernama
Ariffin Deraman - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sentiasa menetapkan garis panduan yang jelas kepada mana-mana pihak ingin menganjurkan sebarang program terutama berbentuk hiburan di negeri ini bagi memastikan ia tidak melampaui batas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri terbuka untuk menerima sebarang penganjuran program, namun ia perlu mengambil kira sensitiviti agama dan masyarakat di negeri itu.

"Sebenarnya bagus (program/karnival), tapi kena ada syarat... kalau tiada makluman di pihak kerajaan negeri, apabila berlaku sesuatu (di luar batasan), yang dikecam adalah kerajaan negeri," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Karnival Jom Heboh Terengganu 2022 di sini pada Rabu.

Beliau berkata, selain memastikan setiap program mengikut garis panduan ditetapkan, kerajaan negeri juga berharap agar para pengunjung dapat menjaga adab masing-masing ketika berada di majlis umum.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menerima banyak permohonan penganjuran pelbagai program hiburan termasuk untuk penggambaran filem di Terengganu, namun ada program terpaksa ditolak setelah mengambil kira suasana masyarakat di negeri itu.

Sementara itu, mengenai karnival yang akan berlangsung pada 7 hingga 8 Oktober ini di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, Ariffin berkata, pihaknya akan menyelaraskan perkara itu dengan pejabat agama dan menempatkan anggota penguat kuasa untuk memantau program tersebut.

"Untuk menjaga nama baik penganjur dan kerajaan negeri, ada juga pihak sukarela menawarkan diri untuk memantau program tersebut bagi memastikan program ini jadi ‘comel’ dan kehadiran pun baik.

"Kita berharap agar program ini dapat diadakan dalam keadaan terkawal... besar juga harapan kerajaan negeri agar pihak terlibat dapat menjaga sensitiviti umat Islam kerana sehari sebelum program tersebut, diadakan program Maulidur Rasul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara garis panduan ditetapkan untuk penganjuran program itu termasuk hanya artis lelaki dibenarkan membuat persembahan pentas, pemilihan artis dan lagu perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri serta pengasingan tempat dan ruang pengunjung kepada ruang keluarga, lelaki dan wanita.

Selain itu para artis, selebriti serta peniaga yang terlibat perlu menutup aurat dan berpakaian sopan, manakala pertandingan karaoke hanya dibenarkan untuk peserta lelaki, manakala bagi peserta wanita, hanya kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun ke bawah dibenarkan menyertainya. - Bernama