Terengganu Turtles tekad mara ke Liga Premier

Terengganu Turtles tekad pamer aksi terbaik pada pusingan playoff STL di Stadium Tasik Titiwangsa, pada Sabtu. - Gambar hiasan.
Terengganu Turtles tekad pamer aksi terbaik pada pusingan playoff STL di Stadium Tasik Titiwangsa, pada Sabtu. - Gambar hiasan.
A
A
A

PASUKAN sepak takraw Terengganu, Terengganu Turtles bertekad mempamer aksi terbaik pada pusingan playoff Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tasik Titiwangsa, pada Sabtu.

Ia bagi memastikan pasukan yang dibimbing Ketua Jurulatih, Rosmadi Mohamad itu dapat naik ke saingan Liga Premier, seterusnya beraksi di pentas STL yang dijangka berlangsung Januari tahun depan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pasukannya telah membuat persiapan rapi dengan membariskan lima pemain termasuk empat atlet pemenang pingat emas di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Senarai pemain termasuk Muhammad Amar Roslan, Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin, Alif Mursyid Rusli, Muhammad Aidil Haikal Ghani dan seorang pemain import dari Thailand, Tanaphon Sapyen yang bakal beraksi sebagai perejam atau 'killer'.

“Kita nak buat yang terbaik untuk tebus kekecewaan selepas gagal naik dari liga Divisyen Satu ke saingan Liga Premier musim lepas,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan dan majlis penyampaian elaun kepada pemain di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di Kuala Nerus pada Selasa.

Menurut Tengku Zaihan, walaupun pusingan playoff dilihat begitu mencabar kerana menampilkan format kalah mati, beliau yakin Terengganu Turtles mampu merebut satu daripada dua slot kosong di Liga Premier yang ditinggalkan Selangor dan Putrajaya atas sebab tertentu.

Katanya, keyakinan itu disandarkan pada faktor kematangan dan kecekapan yang ditunjukkan pemain pada tahun ini berbanding musim lalu.

“Pemain kita dah buktikan keupayaan dengan memenangi pingat emas pada Sukma baru-baru ini. Kita juga ada dua pemain iaitu Muhammad Amar dan Muhammad Afif Jazimin yang pernah beraksi di pentas STL,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Alif Mursyid yang bakal beraksi di posisi apit kanan berkata, beliau sudah tidak sabar untuk membuat kemunculan semula di STL selepas kali terakhir menyertainya pada 2018.

“Selepas tamat Sukma saya terus menjalani latihan bersama Terengganu Turtles untuk saingan playoff, harap kehadiran saya dapat membantu mengembalikan semula pasukan ke persada Liga Premier, seterusnya meraih gelaran juara STL musim 2022/2023,” katanya.

Selain Terengganu Turtles, pusingan playoff STL 2022/2023 turut menampilkan lapan lagi pasukan iaitu Bomba Fighters, Kelantan Warriors, Kedah Eagles, PDRM Defenders, Pahang Mammoth, Sabah Mountaineers, SSC Hunter dan Penjara yang akan bertanding bagi merebut dua slot ke Liga Premier. - Bernama