Alumni Masscomm UiTM bantah penggabungan fakulti

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) atau lebih dikenali sebagai MassComm.
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) atau lebih dikenali sebagai MassComm.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) membantah keputusan universiti itu untuk menggabungkan fakulti tersebut dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

Alumni Masscomm UITM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, mereka mengalu-alukan dialog dengan universiti sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Menurut Presidennya, Basree Rakijan adalah penting untuk memahami mengenai keperluan memelihara imej dan penjenamaan fakulti berusia lima dekad itu.

Beliau berkata, penggabungan itu akan melenyapkan pendidikan asas komunikasi massa untuk menyediakan maklumat penting kepada orang ramai.

"Pelajar komunikasi massa wajib dilatih kemahiran yang diamalkan melalui media seperti akhbar, majalah, radio, televisyen, filem, media sosial dan Internet.



"Platform ini memerlukan kemahiran berfikir dan analitikal, kreativiti dan kepakaran dalam penciptaan kandungan. Mata pelajaran yang patut diberi penekanan antara lain ialah berkaitan sains sosial dan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media telah melahirkan siswazah yang telah berjaya membuktikan diri sebagai peneraju industri dalam bidang percetakan, penyiaran, pengiklanan, perhubungan awam, penerbitan filem dan media sosial.

"Dalam persekitaran di mana maklumat salah semakin berleluasa, maka adalah penting untuk melengkapkan pelajar untuk menjadi komunikator yang cekap.

"Sementara pengajian komputer dan maklumat sangat bermanfaat, namun subjek teknikal ini hanyalah pemboleh kepada penciptaan kandungan.

"Lebih-lebih lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengamal media telah menerima penggunaannya,” tambahnya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, Alumni Masscomm UiTM berharap dapat berbincang dengan UiTM, bersama pihak berkepentingan dan wakil pelbagai organisasi dalam industri terlibat.

Penggabungan itu diumumkan oleh Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor pada sambutan ulang tahun ke-50 fakulti itu baru-baru ini sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula universiti dan langkah penjimatan kos.

Penggabungan fakulti itu kelak akan dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media. - Bernama