Polis nafi kes culik ambil organ jual kepada hospital

Kamarul Zaman - Foto Bernama (Gambar kecil: Tangkap layar kenyataan yang sedang tular di aplikasi Tik Tok ketika ini)
Kamarul Zaman - Foto Bernama (Gambar kecil: Tangkap layar kenyataan yang sedang tular di aplikasi Tik Tok ketika ini)
A
A
A


JOHOR BAHRU - Polis menafikan dakwaan berlaku kes penculikan untuk mengambil organ sebelum dijual kepada pihak hospital seperti yang sedang tular ketika ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dakwaan dalam satu video berdurasi tujuh minit dimuat naik menerusi aplikasi Tik Tok oleh pemilik akaun bernama Aesthethicharu adalah tidak benar sama sekali.

"Hasil semakan mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah sepertimana ditularkan pemilik akaun terbabit.



"Hal ini dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan, perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Artikel Berkaitan:


Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

"Polis kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu," tegasnya lagi.