Kereta Ferrari F1 Schumacher dilelong

Kereta model F2003-GA memacu Schumacher memenangi lima perlumbaan semasa memburu kejuaraan dunia pada edisi 2003. - Foto Agensi
Kereta model F2003-GA memacu Schumacher memenangi lima perlumbaan semasa memburu kejuaraan dunia pada edisi 2003. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Kereta Ferrari yang dipandu Michael Schumacher pada musim 2003 adalah jentera Formula Satu (F1) terbaru milik legenda itu yang akan dilelong pada harga puluhan juta hujung tahun ini.

Tiga kereta Ferrari yang pernah dipandu Schumacher sebelum ini adalah antara empat kereta F1 paling mahal pernah dilelong dengan harga antara £5.2 juta (RM27.5 juta) sehingga £6.2 juta (RM32.8 juta).

Lelongan terbaru dijadualkan berlangsung di Switzerland menerusi seliaan Sotheby pada 9 November, namun masih belum mempunyai tanda harga.

Bagaimanapun sudah pasti ia menjadi salah satu kereta F1 paling mahal yang akan dijual melalui proses lelongan.

Kereta model F2003-GA sempena penghormatan kepada mendiang bos Fiat, Gianni Agnelli itu menyaksikan Schumacher memandu jentera tersebut memenangi lima perlumbaan ketika dia memburu kejuaraan dunia pada edisi 2003.

Ia adalah kereta yang menyaksikan Schumacher merangkul kejuaraan dunia F1 buat kali keenam.

Schumacher ketika ini menetap bersama keluarganya di Switzerland, lokasi di mana F2003-GA akan dilelong.

Keadaan kesihatan semasa pemandu itu tidak didedahkan kepada umum sejak terbabit dengan insiden kemalangan ski sembilan tahun lalu yang menyebabkannya mengalami koma.

Artikel Berkaitan: