Hamidin dicalon Ahli Majlis FIFA

Hamidin
Hamidin
A
A
A
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dicalonkan sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) penggal 2023-2027.

Perkara itu disahkan AFC menerusi senarai calon yang dikeluarkan badan induk berkenaan pada Rabu dengan pemilihan dijangka berlangsung pada 1 dan 2 April tahun depan di Manama, Bahrain.

"Pemilihan jawatan Majlis FIFA akan dipantau oleh individu yang dilantik oleh Jawatankuasa Tadbir Urus FIFA.

"Senarai akhir calon akan dikeluarkan selewat-lewatnya 30 hari sebelum Kongres AFC ke-33 seperti yang ditetapkan dalam Artikel 32.19 Statut AFC (Edisi 2022) dan Artikel 9.3 Kod Pemilihan AFC (Edisi 2022),” menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang rasminya pada Rabu.

Dalam pada itu, AFC memaklumkan seorang daripada lima Ahli Majlis FIFA tersebut bakal dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita AFC.

Sementara itu, mengulas mengenai pencalonan tersebut Hamidin menganggap ia sebagai satu penghormatan dalam membawa nama Malaysia khususnya bola sepak negara di mata dunia.

"Ia juga adalah sokongan daripada negara Asia lain yang menaruh kepercayaan kepada saya. Dalam pada itu, ia selari dengan matlamat saya dalam menjadikan bola sepak Malaysia sebagai satu komponen amat penting di peringkat antarabangsa.



"Yang paling menjadi keutamaan dan tumpuan buat saya ialah untuk menaikkan lagi bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi terutamanya di mata dunia,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM pada Rabu.

Sebelum itu, AFC telah memberi tempoh kepada ahli gabungan sehingga 1 Oktober lepas untuk mengemukakan pencalonan mengikut kehendak dinyatakan dalam Statut AFC (Edisi 2022) dan Kod Pemilihan AFC (Edisi 2022). -Bernama

Artikel Berkaitan: