Melaka teliti isu pampasan tanah petani

Norhizam (dua, kiri) menyampaikan sumbangan 400 anak pokok kelapa matak di Kampung Ayer Salak, Bukit Rambai di sini.
Norhizam (dua, kiri) menyampaikan sumbangan 400 anak pokok kelapa matak di Kampung Ayer Salak, Bukit Rambai di sini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan meneliti isu dibangkitkan 20 petani di Kampung Ayer Salak, Bukit Rambai di sini tentang dakwaan pampasan tanah yang dijanjikan kerajaan terdahulu sejak 10 tahun lalu.

Tanah seluas kira-kira 12 hektar itu sebelum ini berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebagai tempat petani terbabit mengusahakan pelbagai jenis tanaman termasuk sawah padi selama tiga generasi lalu.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, menerusi aduan yang diterima petani di situ mendakwa tanah berkenaan terpaksa diambil untuk tujuan pembinaan kolam tadahan bagi mengatasi banjir.

"Saya dimaklumkan, kerajaan ketika itu ada berjanji untuk memberikan pampasan atau mengantikan tapak tanah baharu bagi meneruskan aktiviti petanian mereka namun sehingga hari ini ia didakwa tidak berlaku.

"Justeru saya telah meminta wakil petani terbabit menyiapkan laporan lengkap untuk diteliti dan diangkat ke peringkat kerajaan negeri," katanya.

Norhizam berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan 400 batang anak pokok kelapa mataq kepada sekumpulan petani di Kampung Ayer Salak, Bukit Rambai di sini.

Turut diserahkan satu unit mesin rumput dan mesin bagi kegunaan mengepam air bagi tujuan pertanian.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ayer Salak, On Bong Tiap mendakwa, sebelum ini petani menuntut pampasan sebanyak RM8,000 atau kerajaan menyediakan tapak lain sebagai ganti.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi ketika itu, menerusi beberapa perundingan dengan agensi kerajaan terlibat mereka hanya setuju untuk membayar RM2,000 tetapi petani tidak bersetuju sehingga ia tergantung sampai hari ini.

"Mereka anggap tawaran itu tidak berbaloi sedangkan kebanyakan petani telah menduduki tanah berkenaan dan mengusahakan tanaman sejak tiga generasi atau kira-kira 80 tahun lalu," katanya.