Arab Saudi bakal anjur Sukan Musim Sejuk Asia 2029

Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia (OCA) ke-41 pada Selasa mengumumkan Arab Saudi sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sukan Musim Sejuk Asia 2029. - Foto 123RF
Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia (OCA) ke-41 pada Selasa mengumumkan Arab Saudi sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sukan Musim Sejuk Asia 2029. - Foto 123RF
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung Majlis Olimpik Asia (OCA) ke-41 pada Selasa mengumumkan Arab Saudi sebagai tuan rumah bagi penganjuran Sukan Musim Sejuk Asia 2029.

Pusat peranginan pelancongan di Trojena akan menjadi bandar Asia Barat pertama yang menjadi tuan rumah bagi Sukan Musim Sejuk Asia, sejak 2017, lapor Xinhua.

Menteri Sukan yang juga Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Saudi, Putera Abdulaziz Turki Al-Faisal menandatangani kontrak selaku tuan rumah bersama dengan pemangku presiden OCA Raja Randhir Singh, selepas perwakilan di Perhimpunan Agung di Phnom Penh sebulat suara meluluskan cadangan Saudi untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan terbabit.

"Ini adalah kemenangan besar bagi Saudi dan negara-negara Teluk.

"Kami berterima kasih kepada Majlis Olimpik Asia kerana memberi peluang ini.

"Trojena bakal menjadi destinasi sukan musim sejuk sepanjang tahun dan akan dibiayai sepenuhnya serta disokong oleh kerajaan.

"Kejohanan ini akan menyerlahkan potensi besar dan infrastruktur mega Arab Saudi bagi menganjurkan pertandingan Sukan peringkat antarabangsa dengan jayanya,” kata Putera Abdulaziz.

"Sehingga kini saya masih tidak percaya bahawa saya akan bermain ski di tanah air saya,” kata Fayik Abdi, atlet Saudi pertama yang menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk, di Beijing 2022.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang saya menantikan Sukan Musim Sejuk Asia di tanah air sendiri," katanya.

Sementara itu, Nadhmi Al-Nasr, Ketua Eksekutif Neom, berkata: "Trojena bakal dilengkapi infrastruktur yang sesuai bagi mewujudkan suasana musim sejuk di tengah padang pasir, serta menjadikan Sukan Musim Sejuk ini sebagai acara global yang belum pernah berlaku sebelum ini." - Bernama