Rafizi dedah syarikat baharu dapat tender bekal meriam RM854 juta

RAFIZI
RAFIZI
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendedahkan syarikat baharu ditubuhkan kurang dua tahun mendapat tender pembekalan sistem meriam artileri jenis self-propelled Howitzer (SPH) Tentera Darat Malaysia (TDM) bernilai RM854 juta.

Rafizi mendakwa, hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dilakukan beliau sendiri mendapati syarikat itu hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun dari tarikh anugerah kontrak oleh kerajaan.

Katanya, syarikat itu juga tidak mempunyai rekod dalam industri pertahanan namun memperoleh kontrak pembekalan persenjataan yang sebegitu besar.

"Belum pun isu skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) reda, proses perolehan pertahanan negara terus berkecamuk akibat campur tangan pimpinan politik kerajaan yang tidak mengendahkan pandangan dan keputusan pimpinan angkatan tentera.

"Salah satu perolehan besar yang menjadi sebutan dan kontroversi terkini ialah pembelian meriam artileri jenis SPH yang melibatkan peruntukan sekitar RM854 juta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menerusi kenyataan itu bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut melampirkan salinan hasil semakan latar belakang syarikat tersebut yang diperoleh daripada SSM.

Beliau menjelaskan, SPH ialah meriam artileri yang digunakan oleh Angkatan Tentera Darat dan diukur antaranya dari segi keupayaan jarak tembakan dan keperluan mobilisasi atau pengangkutan.

Rafizi menegaskan, beliau telah mengkaji kontroversi perolehan itu sejak beberapa bulan dan mendapati ada bukti-bukti bahawa keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi kerajaan membelakangkan spesifikasi dan keperluan angkatan tentera.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Pertahanan telah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan agar perolehan sistem meriam artileri SPH yang baru melalui proses tender terhad, seperti amalan perolehan kelengkapan pertahanan amnya.

"Memang menjadi amalan perolehan pertahanan negara apabila pendekatan tender terhad digunakan untuk mengimbangi keperluan kerahsiaan pertahanan negara (supaya spesifikasi persenjataan tidak diketahui umum) dan mendapatkan nilai terbaik wang rakyat (agar pembida terbaik dilantik)," ujarnya.

Bagaimanapun, Rafizi memberitahu, permohonan melaksanakan tender terhad oleh Kementerian Pertahanan itu ditolak oleh Kementerian Kewangan seperti yang dimaklumkan wakil Bahagian Perolehan Kerajaan (bagi pihak Kementerian Kewangan), Datin Rosni Mohd Yusoff kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada penjawat awam seperti Datin Rosni dan kakitangan Kementerian Kewangan yang pintar menyatakan secara tersirat bentuk-bentuk campur tangan yang telah berlaku dalam perolehan meriam artileri ini.

"Antaranya, Menteri Kewangan menolak permohonan Kementerian Pertahanan untuk mengadakan tender terhad, sebaliknya mengarahkan supaya perolehan dianugerahkan terus kepada syarikat baharu itu," dakwanya.

Justeru, Rafizi berkata, beliau akan mendedahkan pelbagai kepincangan lain dalam pembelian meriam artileri SPH itu setiap hari sepanjang minggu ini dan minggu depan.

"Oleh kerana UMNO nampaknya begitu yakin dengan sokongan pengundi Melayu kepada mereka sehingga sanggup memanggil PRU15 semasa banjir, saya ingin lihat berapa banyak lagi sokongan kepada UMNO jatuh merudum.

"Ia apabila mereka berkempen di dalam banjir untuk mempertahankan penyelewengan-penyelewengan sistem pertahanan negara seperti LCS dan meriam artileri SPH ini," tegasnya.

Skandal LCS sebelum ini mengejutkan negara apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 yang mendapati tiada satu pun kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus telah dibayar sebanyak RM6.083 bilion.

Pembekalan enam buah LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) itu menjadi isu 'panas' kerana projek yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 itu hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.