Pelancaran peluru berpandu tidak ancam pasukan AS, sekutu

Seorang wanita menonton berita di sebuah stesen di Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA
Seorang wanita menonton berita di sebuah stesen di Seoul, Korea Selatan. - Foto EPA
A
A
A

WASHINGTON - Pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara pada pagi Selasa tidak menimbulkan ancaman kepada angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau itu, kata Komando Indo-Pasifik AS dalam satu kenyataan media.

Media melaporkan bahawa Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak sederhana ke arah Laut Jepun.

Peluru berpandu itu dilaporkan terbang melepasi wilayah Jepun dan jatuh di Lautan Pasifik di luar zon ekonomi eksklusif negara itu, lapor Sputnik.

"Kami menyedari pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara hari ini, termasuk ia terbang melepasi Jepun," menurut kenyataan itu.

"Setelah penilaian dibuat, pelancaran peluru berpandu itu tidak menimbulkan ancaman kepada kakitangan AS, atau wilayah, atau kepada sekutu kami, tetapi kami akan terus memantau keadaan."

Amerika Syarikat sedang berunding dengan Jepun, Korea Selatan, termasuk rakan dan sekutunya yang lain untuk menangani situasi itu.

Amerika Syarikat turut mengecam tindakan ini dan menyeru Korea Utara menghentikan sebarang provokasi seterusnya, manakala komitmen AS terhadap pertahanan Jepun dan Korea Selatan kekal kukuh, menurut kenyataan itu.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno berkata, peluru berpandu yang dilancarkan oleh Korea Utara itu meliputi jarak kira-kira 4,600 kilometer (2,858 batu) dengan ketinggian pelancaran sekitar 1,000 kilometer (621 batu). - Bernama

Artikel Berkaitan: