'Mana Bersatu, tak berkuasa lagikah?' - Tun M

Dr Mahathir (kiri)
Dr Mahathir (kiri)
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan keberadaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan tindakan UMNO yang akan menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Bersatu yang sebelum ini ‘dirampas’, gembira kerana pemimpinnya dilantik sebagai Perdana Menteri selepas BN merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui tindakan beberapa ahli Parlimen melompat parti.

Menurutnya, apabila Perdana Menteri dari Bersatu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dijatuhkan oleh UMNO, parti yang kalah PRU14 itu pula menjadi kerajaan.

“Parti yang ditolak oleh rakyat (kalah pada PRU14) jadi kerajaan. Sebagai kerajaan, UMNO akan tentukan bila PRU15 akan diadakan.

“Mana dia Bersatu. Tidak berkuasa lagikah?,” soal Ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau turut berpandangan, Bersatu tidak akan menang dalam PRU15 kerana tidak mendapat sokongan UMNO dan Pas.

Tegas Dr Mahathir, itu adalah nasib kepada parti yang pernah tikam belakang kawan sendiri untuk menjadi kerajaan bersama parti lain melalui ‘pintu belakang’.

“Sesungguhnya langkah Sheraton memulakan ketidakstabilan politik dalam negara. Sebelum langkah Sheraton, semua kerajaan dipilih melalui PRU.

Artikel Berkaitan:

“Muhyiddin dan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ) yang melangkah dan menjadi boneka dalam perancangan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak),” ujarnya.