Lebih RM1.53 bilion dibelanjakan bantu pesawah: Ronald

Kerajaan membelanjakan lebih RM1.53 bilion untuk membantu pesawah di seluruh negara termasuk bantuan subsidi input dan output. - Gambar hiasan
Kerajaan membelanjakan lebih RM1.53 bilion untuk membantu pesawah di seluruh negara termasuk bantuan subsidi input dan output. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membelanjakan lebih RM1.53 bilion untuk membantu pesawah di seluruh negara termasuk bantuan subsidi input dan output, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, subsidi input pertanian meliputi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan; Skim Insentif Pengeluaran Padi; Skim Baja dan Racun Padi Bukit dan Huma; serta Skim Insentif Benih Padi Sah manakala subsidi output pula diberikan melalui Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

Menurutnya, kerajaan juga menaikkan kadar bersubsidi racun makhluk perosak di bawah program Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) daripada RM200 per hektar semusim kepada RM300 per hektar semusim untuk 2022 melibatkan kira-kira RM62 juta.

Selain itu, bantuan khas pesawah sementara menunggu hasil padi juga akan diberikan pada 2023 dengan kadar bantuan sebanyak RM200 setiap bulan untuk tempoh tiga bulan dengan jumlah peruntukan hampir RM230 juta.

"Jadi harga padi adalah mengikut pemutuan (kualiti) yang ditetapkan oleh IPB (Bahagian Pembangunan Industri Padi) dan kerajaan kerana pemutuan diselaraskan dengan subsidi output. Pendeknya, kerajaan membelanjakan lebih daripada RM1.53 bilion untuk bantu pesawah," katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ronald berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mencadangkan supaya kerajaan menyemak semula untuk memberikan harga minimum terjamin padi (GMP) pada kadar RM1.30 sekilogram.

Justeru, Ronald berkata, andaian bahawa kerajaan mengabaikan pesawah adalah tidak benar kerana kerajaan telah mengadakan pelbagai program dan subsidi bagi membantu golongan itu di seluruh negara.

Terdahulu, Ronald memberitahu ketika ini pesawah menikmati penyeragaman harga padi atau GMP di Semenanjung pada kadar RM1,200 per tan metrik atau RM1.20 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, GMP telah diselaraskan pada 2014 dan penetapan itu juga tertakluk kepada kualiti padi.

"Tarikh akhir semakan GMP adalah pada 21 Feb 2014 dan pelaksanaan GMP ini telah dibuat melalui Perintah Tetap oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras yang sedang berkuat kuasa sehingga hari ini.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, buat masa ini kerajaan belum berhasrat untuk mengkaji semula harga minimum terjamin padi yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Mahfuz yang mahu tahu GMP bagi sekilogram yang dibeli daripada petani padi dan tarikh akhir semakan GMP ini dibuat, selain kementerian berkenaan berhasrat atau tidak untuk menyemak semula serta menaikkan harga GMP. - Bernama